Kelebihan Solat Dhuha

Kelebihan Solat Dhuha

Wednesday, 14 May 2014

Syahid Ketika Sedang Keluar 40 Hari Dakwah dan Tabligh di Semporna.

Dibawah merupakan satu laporan (karkuzari) yang saya copy paste dan ingin kongsikan kepada semua daie agar istiqomah sehingga Allah menerima usaha yang kita jalankan iaitu mati dalam dakwah. Insyallah

Maulana bagi tau,

"beruntunglah sesiapa yang mendapat usaha agama,
lebih beruntung kepada orang yang istiqomah dalam kerja agama,
dan Paling lebih lagi beruntung adalah kita mati dalam usaha agama."

berikut merupakan laporan tersebut.

_________________________________________________________________________________


2 Ogos 2012/ 13 Ramadhan 1433H. Seorang rakan seusaha dari Semporna, saudara Isnani syahid di jalan Allah sewaktu sedang khuruj 40 hari fi Sabilillah menjalankan usaha dakwah dan tabligh. Wajah tenang ini tidak ramai yang mengenalinya. Seorang yang zuhud dari segi dunianya, saya yakin melihat kepada keadaan dirinya, komputer dan internet pun beliau tidak pandai apalagi Facebook dan Blog. Bukan juga beliau ini seorang yang ternama bahkan adalah beliau adalah di kalangan orang kebanyakan yang biasa. Namun akhir kehidupannya membuatkan beliau seorang yang luar biasa. Semalam saya bersama rakan-rakan seusaha dari Semporna turut membantu menguruskan jenazahnya. Sangat tenang wajahnya. Saya abadikan gambar dan kisahnya di sini, sebagai pengajaran dan pembakar semangat buat para da’ei yang merindui syahid di jalan Allah.
Namanya yang biasa kami panggil ialah Isnani, seorang pemuda yang periang dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Beliau menetap di sebuah penempatan ladang kelapa sawit yang jauhnya kira-kira 40km dari pekan Semporna. Sewaktu hayatnya beliau sering beriktikaf di surau Kg Perigi Semporna. Surau yang biasa menjadi transit mana-mana jemaah yang dihantar ke Semporna. Salah satu surau yang hidup amal jemaah masjid di Semporna.
Sewaktu takaza persiapan Ijtimak Lahad Datu dibentangkan, beliau antara yang banyak menginfakkan masa dan tenaganya di medan ijtimak beberapa minggu sebelum menjelangnya ijtimak. Sikapnya yang mesra dengan sesiapa sahaja membuatkan beliau sangat disenangi. Saya juga senang dengan gurauannya yang banyak mengingatkan saya kepada kehidupan akhirat.
Bagi yang memberi masa untuk khidmat di ijtimak Lahad Datu tempoh hari mungkin sangat biasa dengan seraut wajah ini. Beliau memberi masa berminggu-minggu di medan ijtimak membantu kerja-kerja yang patut. Saya dan rakan-rakan seusaha dari Semporna waktu itu hanya mampu memberi masa hujung-hujung minggu sahaja untuk khidmat. Lazimnya kami datang Jumaat malam dan pulang pada Ahad malam. Pernah suatu malam hari Ahad sewaktu saya mahu balik ke Semporna dari khidmat di Lahad Datu itu, arwah mengiringi kami sampai ke kereta dan mengajak kami tambah masa untuk khidmat, tapi kami tak dapat nak tambah masa disebabkan banyak kekangan, semoga Allah ampunkan kami yang hanya mampu korbankan masa tersisa hujung minggu itu sahaja.
Masih terngiang-ngiang di telinga saya, sewaktu kami semua telah masuk ke dalam kereta dan bersiap hendak pulang ke Semporna, selepas injin dihidupkan, arwah yang berdiri di luar kereta telah bercakap sesuatu dalam bahasa Tausug/Suluk yang saya tidak fahami, tetapi saya mendengar satu Avanza rakan-rakan seusaha bertakbir “Allahu Akbar”. Saya tanya salah seorang dari jemaah Semporna yang di dalam kereta itu, “Apa yang dia cakap, saya tak berapa paham, apa maksudnya” Kawan saya pun menterjemahkan apa yang beliau cakapkan itu iaitu katanya: “Janganlah balik rumah tuan, rumah sebenar kita bukan di dunia, tapi rumah sebenar kita adalah adalah di syurga.” Allahu… Saya turut terkedu. Waktu tu kami hanya mampu tertunduk malu dan meneruskan perjalanan balik ke Semporna meninggalkan beliau yang menyambung khidmat di tapak ijtimak.
Selepas ijtimak beliau bersungguh-sungguh untuk keluar 40 hari pula. Dan jemaah beliau dihantar untuk jalankan usaha dakwah dan tabligh di kawasan penempatan-penempatan ladang kelapa sawit di Semporna yang jauh dari pekan, kawasan yang agak muhajadah dan bukan calang-calang jemaah sanggup jalankan usaha di kawasan ladang. Pernah di sebuah ladang, jemaah ini diusir oleh pengurusnya. Hendak dijadikan sebab, sewaktu awal-awal khuruj beliau masih sihat. Masa terus berjalan sehinggalah beberapa masjid dan surau yang terakhir ini, beliau sering sesak nafas. Orang Sabah bilang ‘ampus’. Pernah dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas seminggu yang lalu sewaktu masih di Tagasan.
Route terakhir 40 hari, Surau Indani, Bugaya, pagi semalam (12 Ramadhan) lepas bayan subuh arwah duduk berselimut sambil berzikir seorang diri tatkala jemaah yang lain menyambung rehat mereka. Amir jemaah Hj Anwar menceritakan kepada kami beliau mendengar arwah berzikir dengan suara yang lemah dan sayu. Tidak beberapa lama kemudian tiba-tiba jemaah terjaga mendengar arwah menjerit menahan sakit di dada ‘Allahu Akbar!’ dalam keadaan sesak nafas.
Tanpa membuang masa arwah segera dikejarkan ke hospital Semporna akan tetapi sudah takdir Allah ingin memuliakannya di bulan yang penuh keberkatan ini. Lidah arwah sibuk dengan zikir sebelum menghembus nafasnya yang terakhir di pangkuan rakan jemaahnya Wafi dan Muhammad di dalam Van Hj Anwar sewaktu dalam perjalanan ke hospital. Mengenangkan arwah membuatkn saya menangis, inilah kematian yang amat dicemburui.
Dan hari ini, di bulan yang berkat ini, Allah telah menghantar Isnani untuk melawat rumahnya yang sebenar iaitu di syurga. Meninggalkan para da’ei dengan perasaan cemburu yang amat sangat. Ya Allah bagaimanakah pula pengakhiran kami nanti. Sama-sama kita tanamkan azam dan niat untuk keluar di jalan Allah 40 hari dan 4 bulan secepat mungkin insyaAllah.
Maksud firman Allah s.w.t:
“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;
(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman. (Surah Ali ?Imran:169-171)
Muhammad Ishak Zaini
2 Ogos 2012
13 Ramadhan 1433H

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Fixed Deposit Calculator