Kelebihan Solat Dhuha

Kelebihan Solat Dhuha

Monday, 25 March 2013

Abdul Rahman Al-Ghafiqi – Putera Andalus


ABDUL RAHMAN AL GHAFIQI
Putera Andalus
Al Ghafiqi adalah bayangan Musa Bin Nusair dan Tariq Bin Ziyad yang terkenal dengan semangat dan cita-cita yang tinggi [Ahli Sejarah] 
Al Samah Bin Malik al Khaulaani menawarkan jawatan penting di Andalus kepada Al Ghafiqi namun dijawab Al Ghafiqi,
Wahai Gabenor, saya ini rakyat biasa. Saya datang ke negeri ini untuk berada di barisan hadapan tentera Islam. Saya telah mewakafkan diri saya ini untuk mencari keredhaan Allah. Saya hunuskan pedang saya ini untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Dengan izin Allah engkau akan mendapati saya sentiasa bersamamu selagi engkau berada di atas kebenaran. Saya adalah orang yang paling mentaatimu , selagi engkay mentaati Allah dan RasulNya, kecuali dalam soal yang membabitkan kuasa dan kedudukan.”
Al Samah berhasrat mahu meluaskan empayar Islam dengan meletakkan Perancis di bawah naungan Islam. Ini kelak akan membuka laluan untuk menakhluk negeri-negeri Balkan dan seterusnya Kota Konstantinople lantas merealisasikan janji Rasulullah saw.
Peperangan getir berlaku di Kota Narbonne, Perancis. Ini dikhabarkan oleh orientalis Perancis, Renault ;
“Ketika kemenangan hampir-hampir memihak kepada tentera Islam, Duke Aquitania memerintahkan seluruh rakyat dan hamba dalam negerinya untuk turut sama berperang. Dia juga menghantar utusan ke segenap penjuru Eropah memberitahu seluruh raja dan pemerintah di Eropah akan ancaman yang mereka hadapi. Negeri mereka hampir jatuh ke tangan musuh dan anak isteri mereka bakal menjadi tawanan umat Islam.”
“Akhirnya seluruh Eropah menyahut seruan ini dan turut sama menghantar barisan tentera mereka yang terkuat dan teramai dalam sejarah Eropah. Jumlah tentera yang sebegitu besar ini belum pernah disaksikan oleh dunia. Malah gerakan tentera ini menyebabkan debu yang berterbangan ke udara menutup cahaya matahari di kota Rhone.”
“Apabila kedua-dua pihak berhadapan antara satu sama lain mereka kelihatan ibarat gunung bertemu gunung. Akhirnya berlakulah     satu peperangan sengit yang tiada tandingannya dalam sejarah manusia.”
Di medan inilah, Al Samah gugur. Lantas Al Ghafiqi mengetuai pengunduran tentera Islam dan mereka berjaya kembali ke Bumi Andalus. Inilah kekalahan pertama dan terbesar umat Islam semenjak mereka menjejakkan kaki di bumi Eropah.
Berita kekalahan sampai kepada Khalifah di Bumi Damsyik. Al Ghafiqi dilantik oleh Khalifah sebagai pentadbir seluruh bumi Andalus dan jajahan-jajahan Perancis yang ditakhluknya. Khalifah kemudiannya memberi   kebenaran   kepada   Abdul   Rahman   untuk   bertindak   menurut   kehendaknya. Kebenaran  sebegini  tidak  memeranjatkan  kerana  al-Ghafiqi  adalah  seorang  yang  tegas, bertakwa dan bijak.
Semenjak dilantik mentadbir bumi Andalus Abdul Rahman berusaha keras untuk mengembalikan keyakinan diri para tentera Islam dan menyemai jiwa mereka supaya sentiasa merasa  bangga,  berkemampuan  dan  yakin.  Di  samping  itu,  beliau  juga  berusaha  untuk mencapai matlamat agung yang dicita-citakan oleh  para panglima agung Islam di Andalus semenjak zaman Musa bin Nusair1  hinggalah ke zaman al-Samah bin  Malik al-Khaulaani. Kesemua para pahlawan agung ini bercita-cita besar untuk mara ke Perancis kemudian  ke Itali dan Jerman sebagai langkah awal untuk menakluk bumi Konstantinopal. Seterusnya menjadikan Laut Mediteranean ibarat sebuah Lasik dalam sebuah negara Islam dan diberi nama Laut Sham bagi menggantikan nama lamanya Laut Rom.
Namun demikian, Abdul Rahman al-Ghafiqi amat yakin persiapan untuk menghadapi peperangan yang agung bermula dengan pemurnian jiwa. Beliau amat yakin tiada satu bangsa pun  yang  dapat  merealisasikan  impian  mereka  jika  benteng  mereka  sendiri  rapuh  dan diancam dari dalam. Oleh kerana itu, beliau menjelajah ke seluruh bumi Andalus dari satu bandar ke satu bandar, mengarahkan pengiringnya supaya mengisytiharkan:
“Sesiapa sahaja  yang dizalimi oleh mana-mana pemerintah atau hakim atau oleh sesiapa sahaja, hendaklah membuat aduan kepada gabenor.” Dalam usahanya ini, beliau tidak membezakan antara orang Islam dan ahli zimmi.
Beliau seterusnya meneliti setiap aduan satu persatu dan mengembalikan hak yang dirampas kepada  orang yang lemah tanpa memihak kepada mereka yang berkuasa. Beliau kemudiannya menghukum orang yang zalim bagi pihak mereka yang dizalimi.
Masalah gereja-gereja yang telah dirampas dan yang baru dibina juga diteliti. Gereja- gereja ini  dikembalikan semula kepada pemiliknya menurut perjanjian yang sah manakala gereja-gereja yang ada kaitan dengan rasuah akan dimusnahkan. 
Setelah itu beliau meninjau pula setiap pegawainya seorang demi seorang. Mana- mana pegawai  yang didapati tidak amanah dan menyeleweng akan dipecat dan tempatnya digantikan dengan pegawai yang diyakini kebijaksanaan dan kelayakannya. 
Setiap  kali  beliau  mengunjungi  sesebuah  kawasan,  beliau  mengajak  orang ramai mendirikan  sembahyang  berjemaah.  Beliau  kemudiannya  menyampaikan  ucapan.  Dalam ucapan ini beliau menaikkan  semangat jihad dan merangsang mereka untuk mati syahid. Beliau turut mengajak mereka supaya sentiasa mencari keredaan dan ganjaran Allah. Abdul  Rahman  benar-benar  mengotakan  segala  kata-katanya  dan  merealisasikan segala  impiannya. Semenjak awal pemerintahannya lagi, beliau sudah bersiap siaga dan memperlengkapkan  segala  keperluan perang. Dia memperbaiki semua benteng pertahanan dan membina kota-kota. 
Abdul Rahman juga turut membina jambatan dan empangan. Empangan dan jambatan yang paling  besar pernah dibina olehnya ialah Empangan Qurtuba di ibu negara Andalus. Empangan  ini  dibina  di   sungai  Qurtuba  bagi  memudahkan  orang  ramai  dan  tentera menyeberanginya. Di samping itu, empangan juga dibina bagi memelihara negara dan rakyat daripada ancaman banjir. Empangan ini dianggap sebagai salah sebuah binaan ajaib di dunia. Panjang empangan ini ialah 800 depa, tingginya 60 depa dan lebarnya 19 depa. Empangan ini masih wujud dan digunakan oleh penduduk Sepanyol hingga ke hari ini. 
Abdul  Rahman  al-Ghafiqi  biasanya  akan  membuat  perjumpaaan  dengan  semua panglima  tentera dan pemimpin masyarakat di setiap kawasan yang dikunjunginya. Beliau memberi sepenuh tumpuan  kepada setiap apa yang mereka katakan. Beliau menulis setiap cadangan dan mencatatkan setiap nasihat.  Dalam perjumpaan tersebut beliau mengambil sikap lebih banyak mendengar daripada bercakap. Selain bertemu dengan tokoh-tokoh umat Islam  beliau  turut  membuat  pertemuan  dengan  tokoh-tokoh  ahli   zimmi.   Kebanyakan soalannya  berkisar  tentang  keadaan  negeri  yang  di  luar  pengetahuannya.  Termasuklah berkenaan pemerintah dan ketua tentera yang sentiasa menjadi tumpuannya. 
Suatu hari, beliau menjemput seorang tokoh ahli zimmi yang merupakan penduduk asal Perancis. Perbualan mereka menyentuh banyak aspek. Beliau kemudiannya menimbulkan  satu persoalan:“Mengapa raja kamu, Charles Martel tidak cuba menyerang kami atau tidak cuba membantu pemerintah-pemerintah wilayah untuk menyerang kami?!” 
Dengan tenang ahli zimmi itu menjawab: “Wahai gabenor, oleh kerana engkau telah tunaikan  segala   janjimu  kepada  kami,  kini  menjadi  tanggungjawab  saya  pula  untuk memberikan jawapan yang jujur kepada soalan engkau itu. Pemimpin kamu, Musa bin Nusair telah mengukuhkan cengkamannya di Sepanyol,  kemudian dia mula mengalihkan tumpuan untuk menakluk Pergunungan Pyrennes yang memisahkan antara  Andalus dan negeri kami yang indah.” 
Ahli zimmi menyambung: “Apabila mengetahui hasrat tersebut, pemerintah wilayah dan paderi mengadu kepada raja kami: Tuanku, telah sekian lama kami dan anak cucu kami menanggung kesedihan?!  Semenjak sekian lama kami dengar mengenai umat Islam. Kami bimbang mereka akan menyerang kami dari arah timur tetapi kini mereka mara ke arah kami dari arah barat. Mereka telah menakluk seluruh Sepanyol dan memiliki seluruh kelengkapan yang ada di sana. Selepas itu mereka berjaya pula menakluk gunung yang memisahkan kami dengan mereka. Sedangkan bilangan mereka kecil dan senjata mereka sedikit. Kebanyakan mereka  tidak  mempunyai  perisai  untuk  mempertahankan  diri  daripada  hayunan  pedang. Mereka juga tidak mempunyai kuda untuk digunakan di medan perang. 
Raja  mereka  melepaskan  pandangannya jauh-jauh  lalu  berkata:  “Saya  telah  teliti sedalam-dalamnya masalah yang kamu fikirkan itu dan saya telah berfikir panjang. Saya berpendapat kita tidak boleh menyekat serangan mereka kali ini. Mereka kini ibarat air bah yang menelan apa sahaja yang  menghalang arusnya. Malah arus ini akan menghanyutkan segala-galanya.” 
Saya   melihat   mereka   ini   adalah   manusia   yang   mempunyai   pegangan   dan keikhlasan.  Dengan dua perkara ini mereka  tidak memerlukan jumlah  yang ramai  atau senjata yang cukup. Mereka mempunyai keyakinan dan kejujuran yang sudah cukup untuk menggantikan perisai dan kuda. Kita akan tunggu hingga mereka mula mengaut kekayaan. Apabila mereka mula memiliki rumah  dan istana. Apabila mereka mula bersaing memiliki amah dan khadam. Apabila mereka mula berlumba untuk berebut kuasa. Ketika itu kita akan berjaya kalahkan mereka dengan cara yang amat yang sangat mudah tanpa perlu bersusah payah.” 
Abdul Rahman al-Ghafiqi tertunduk hiba mendengar kata-kata itu. Dia mengeluh panjang lalu bangun: “Marilah kita sembahyang kerana waktu sudah hampir tiba.” 
Selama dua tahun Abdul Rahman al-Ghafiqi membuat persiapan untuk melancarkan serangan   besar-besaran.  Beliau  membentuk  pasukan-pasukan  tentera  dan  melatih  para tentera. Beliau  juga  berusaha  menaikkan semangat dan menghidupkan hati para  tentera. Beliau  turut  memohon  bantuan   daripada  gebenor  di  Afrika  yang  kemudiannya  telah menghantar bantuan tentera yang terdiri daripada mereka yang cintakan jihad dan bercita-cita besar untuk mati syahid. Setelah itu beliau menghantar utusan kepada Uthman bin Abu Nus’ah, pemerintah di barisan hadapan tentera Islam supaya melancarkan serangan secara berterusan ke atas musuh sementara menunggu kedatangannya bersama angkatan tenteranya. 
Malangnya, Uthman bukanlah seorang yang berjiwa tinggi. Apabila dia melakukan suatu perkara yang hebat dia akan mencanangkannya ke seluruh manusia dan menyembunyikan jasa yang dimainkan oleh orang lain. Tambahan pula, dalam salah satu peperangan  yang  dimenanginya  menentang  Perancis,  dia  telah  berjaya  menawan  anak perempuan Duke Aquitania yang  bernama Minin. Seorang gadis yang jelita dan berasal daripada keluarga diraja yang dihormati. Kejelitaan  gadis ini memikat hati Uthman hingga seluruh hatinya terpaut pada gadis ini. Gadis ini mendapat layanan istimewa lebih daripada seorang isteri. 
Gadis  ini  berjaya  mempengaruhi  Uthman  supaya  berdamai  dengan  bapanya  dan membuat perjanjian yang menjamin bahawa wilayahnya yang terletak bersempadan dengan Andalus akan selamat daripada sebarang serangan tentera Islam. Apabila arahan Abdul Rahman al-Ghafiqi supaya dia melancarkan serangan ke atas wilayah bapa mertuanya, Duke Aquitania sampai ke tangannya, dia terduduk. Gelisah tidak tahu apa yang patut dilakukannya. 
Namun dengan segera dia mengutus surat kepada al-Ghafiqi meminta supaya beliau menarik   semula   arahannya.   Katanya   beliau   tidak   dapat   melanggar   perjanjian   yang ditandatanganinya dengan  Duke Aquitania sebelum tamat tempohnya. Alasan Uthman ini menimbulkan kemarahan Abdul Rahman al-Ghafiqi. Beliau membalas: 
“Sebarang perjanjian yang ditandatangani dengan Frank tanpa pengetahuan gabenor adalah tidak diterima pakai dan tidak terpakai pada tentera Islam. Engkau perlu laksanakan segala arahan saya tanpa berlengah-lengah atau bertangguh.” Setelah gagal memujuk gabenor membatalkan hasratnya Uthman bin Abu Nus’ah menghantar  utusan  kepada  bapa  mertuanya  memberitahu  perkara  yang berlaku.  Uthman meminta bapa mertuanya supaya bersiap sedia. Walau bagaimanapun, pengintip Abdul Rahman al-Ghafiqi telah mengintip setiap gerakan Uthman bin Abu Nus’ah. Hubungan Uthman dengan musuh ini telah disampaikan kepada gabenor. 
Al-Ghafiqi  mengambil  langkah  segera  dengan  membentuk  sebuah  pasukan  khas terdiri  daripada   tentera  yang  gagah  perkasa.  Pasukan  ini  diketuai  oleh  seorang  yang berpengalaman  lama  dalam  jihad.  Al-Ghafiqi  mengarahkan  mereka  supaya  menangkap Uthman bin Abu Nus’ah, hidup atau mati. Pasukan ini kemudiannya menyelinap masuk ke markas tentera Uthman bin Abu Nus’ah  dan   hampir  berjaya  menangkapnya.  Walau  bagaimanapun,  Uthman  menyedari serangan tersebut dan berjaya melarikan diri. Dia melarikan diri ke kawasan gunung dengan diiringi  oleh  para  pengikutnya  bersama-sama  isteri  jelitanya,  Minin  yang  tidak  pernah berpisah dengannya dan sentiasa di sampingnya. 
Pasukan  yang dihantar  oleh  al-Ghafiqi  tadi  terus  mengejar  dan  akhirnya  berjaya mengepung  Uthman. Uthman berjuang bermati-matian mempertahankan diri dan isterinya hingga akhirnya dia gugur ke bumi. Terbujur kaku dengan kecederaan yang tidak terhingga. Pasukan tentera  ini  memenggal kepalanya  dan  kemudian menghantarnya  berserta isterinya kepada Abdul Rahman al-Ghafiqi. Isteri  Uthman  dihadapkan  ke  hadapan  Abdul  Rahman.  Sebaik  sahaja  melihat kejelitaan wanita ini, beliau memejamkan mata dan mengalihkan mukanya.mKemudian  beliau  menghantar  wanita  ini  sebagai  hadiah  kepada  istana  khalifah. Wanita Perancis  ini terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di istana khalifah Umayyah di Damsyik. 
Berita yang menyayat hati tentang menantunya, Uthman bin Abu Nus’ah akhirnya sampai ke  pengetahuan Duke Aquitania. Lebih menyayatkan hatinya ialah berita tentang nasib anaknya, Minin. Dia memahami kini gendang perang telahpun dipalu. Dia turut yakin Singa Islam, Abdul Rahman al-Ghafiqi akan menyerang negerinya pada bila-bila masa. 
Oleh itu, dia membuat persiapan untuk mempertahankan habis-habisan setiap inci buminya. Dia  bersedia untuk mengorbankan jiwa dan segala harta yang dimilikinya. Dia tidak mahu diheret ke istana Khalifah seperti yang berlaku kepada anaknya. Dia tidak manu kepalanya  menjadi  bahan  tontonan  di   seluruh  Damsyik  seperti  yang  berlaku  kepada Luzarique, raja Sepanyol sebelum ini. Ternyata sangkaan Duke tidak dihampakan oleh Abdul Rahman al-Ghafiqi. Bersama- sama angkatan  tenteranya, Abdul Rahman al-Ghafiqi mara dari arah Utara Andalus ibarat angin taufan yang melanda. Ibarat bah yang besar melanda Selatan Perancis melalui puncak Pyrennes. 
Angkatan tenteranya berjumlah 100 ribu orang mujahid. Semuanya mara  dengan berbekalkan semangat waja dan tekad yang tinggi menggunung. Matlamat mereka kini ialah Kota Arles yang terletak di tebing Sungai Rhone. Kota ini ada perhitungan  tersendiri dengan tentera  Islam. Kota Arles suatu ketika dahulu pernah memeterai perjanjian dengan umat Islam apabila mereka bersetuju untuk membayar jizyah. 
Ketika al-Samah bin Malik al-Khaulaani gugur syahid di medan Toulouse hingga menyebabkan  tentera Islam tersungkur kalah, penduduk Arles mengkhianati perjanjian dan enggan membayar jizyah. Ketika Abdul Rahman al-Ghafiqi tiba di pingir kota, beliau mendapati Eudes, Duke Aquitania  telahpun membuat persiapan rapi untuk mempertahankan kota ini. Eudes telah mengumpulkan  tentera-tenteranya  di  sekeliling  kota  dan  bersiap  sedia  untuk  menyekat kemaraan tentera Islam.
Tidak  berapa  lama  kemudian,  pertembungan  dua  pihak  pun  bermula.  Berlakulah pertempuran yang hebat. Abdul Rahman al-Ghafiqi melancarkan serangan daripada pasukan- pasukan  tentera  yang  berani  mati,  malah  kecintaan  mereka  kepada  mati  lebih  daripada kecintaan musuh kepada hidup. Akhirnya  mereka  berjaya memporak-perandakan kekuatan musuh dan menggugatkan pertahanan mereka. Seluruh kota kini terlibat dalam pertempuran ini. Musuh berjaya ditundukkan dan ramai yang terkorban. Harta perang  yang diperolehi tidak terhitung banyaknya.
Duke Eudes pula berjaya melarikan diri bersama tentera-tenteranya yang masih hidup. Mereka segera mengumpulkan semula kekuatan untuk bertemu semula dengan tentera Islam. Bagi Eudes, peperangan di Arles adalah suatu permulaan bukan suatu kesudahan.
Selepas beroleh kemenangan di Arles, Abdul Rahman al-Ghafiqi bersama angkatan tenteranya   menyeberangi  Sungai  Garonnes dan  mara  menjelajah  ke  seluruh  kawasan Aquitania. Seluruh perkampungan dan kota yang dilalui jatuh satu persatu ke tangan mereka ibarat daun kering yang gugur ke bumi ditiup angin di musim luruh. Harta perolehan perang yang diperolehi oleh tentera Islam semakin bertimbun. Mereka sendiri tidak pernah melihat atau mendengar harta yang sebanyak ini.
Duke Eudes bertekad untuk menyekat kemaraan tentera ini sekali lagi. Jadi berlakulah pertempuran yang amat sengit antara kedua-dua belah pihak. Namun akhirnya tentera Islam berjaya memberikan kekalahan perit kepada musuh. Tentera Islam berjaya memusnahkan dan memporak-perandakan kekuatan musuh. Akhirnya ramai musuh yang berjaya dibunuh atau ditawan atau melarikan diri.
Tentera Islam kemudiannya mara ke Kota Bordeaux, bandar terbesar di Perancis ketika itu dan  ibu kota bagi Aquitania. Berlaku pertempuran yang tidak kurang sengitnya dengan  peperangan  sebelum  ini.   Pihak  yang  menyerang  dan  bertahan  masing-masing menunjukkan kehebatan  masing-masing  yang  sungguh  mengkagumkan.  Namun  akhirnya nasib kota besar ini sama seperti kota-kota lain, jatuh juga ke  tangan tentera Islam dan pemerintahnya turut terkorban bersama-sama tenteranya.
Umat Islam sekali lagi memperolehi harta perolehan perang. Kali ini, jumlahnya jauh lebih besar berbanding sebelum ini. Kejatuhan Kota Bordeaux ke tangan umat Islam menjadi petanda kepada kejatuhan kota-kota lain yang sama besar dan sama penting. Terutama kota Lyon, Besancon4 dan Sens. Kota Sens ini tidak sampai 100 batu dari kota Paris.
Seluruh  Eropah  gempar  dengan  kejatuhan  separuh  daripada  Perancis  Selatan  ke tangan Abdul Rahman al-Ghafiqi dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Rakyat Perancis mula membuka mata melihat bahaya yang bakal dihadapi. Seruan bergema di seluruh Perancis mengarahkan  seluruh  rakyatnya  baik  yang kuat  mahupun  yang lemah  supaya  menyekat bahaya yang sedang mara dari timur ini. Seluruh rakyat Perancis dikerah supaya menyekat kemaraan ini biarpun dengan dada mereka sekalipun. Mereka dikerah supaya menggunakan tubuh mereka sebagai benteng jika mereka tidak memiliki sebarang senjata. Akhirnya seluruh Eropah  menyahut  seruan  ini.  Seluruh  rakyat  bersatu  di  bawah  Charles  Martel  dengan bersenjatakan kayu, batu, duri atau senjata.
Di ketika yang sama, tentera Islam telah sampai ke Kola Tours iaitu kota Perancis yang paling padat penduduknya, paling kukuh dan paling bersejarah. Apa yang lebih menarik ialah kota ini dianggap penting  berbanding kota-kota lain kerana kota ini memiliki gereja yang indah, besar dan memiliki bahan bersejarah serta suci.
Umat Islam melancarkan serangan bertalu-talu ke atas musuh dengan semangat yang tinggi  dan  rela   mengorbankan  segala  nyawa  dan  tenaga  mereka  untuk  memperoleh kemenangan. Akhirnya kota ini jatuh ke tangan umat Islam dan berita kejatuhan ini sampai ke pengetahuan Charles Martel yang tidak mampu melakukan apa-apa.
Pada  akhir  bulan  Sha’ban  tahun  ke-104  H,  Abdul  Rahman  al-Ghafiqi  bersama tenteranya yang  gagah perkasa mara menuju ke Kota Poitiers. Di sinilah mereka bertemu dengan angkatan tentera Eropah yang dipimpin oleh Charles Martel. Berlakulah pertempuran sengit yang membuka lembaran baru bukan  sahaja  dalam sejarah umat Islam atau Eropah malah sejarah manusia seluruhnya. Peperangan ini dikenali  sebagai peperangan Balat al- Shuhada’.
Walaupun  ketika  itu,  tentera  Islam  berada  di  kemuncak  kemenangan  yang  amat membanggakan. Namun bebanan yang ditanggung kini semakin berat akibat harta perolehan perang yang mencurah-curah ibarat hujan, bertimbun di tangan tentera Islam.
Abdul Rahman al-Ghafiqi melihat segala kejayaan melimpah ruah ini dengan penuh kebimbangan dan takut. Abdul Rahman bimbang harta ini bakal menggugat kekuatan umat Islam. Beliau bimbang harta ini akan mengganggu hati mereka ketika bertemu musuh. Hati mereka mungkin berbelah bahagi jika sesuatu keburukan menimpa mereka. Mereka mungkin melihat musuh dengan sebelah mata sementara mata satu  lagi  sibuk melihat harta milik mereka.
Oleh itu, beliau berhasrat untuk mengarahkan tenteranya membuang sahaja segala harta yang bertimbun ini tetapi beliau takut tindakan itu tidak dapat diterima oleh mereka. Mereka mungkin tidak  bersedia untuk menyerahkan segala kekayaan ini. Jadi hanya satu sahaja pilihan yang terbaik iaitu  mengumpulkan semua harta ini dalam satu khemah khas. Khemah ini ditempatkan di bahagian belakang markas sebelum sesuatu peperangan meletus.
Selama bebarapa hari, kedua-dua belah pihak angkatan ini saling berhadapan dengan penuh tenang. Dalam diam-diam, masing-masing memerhati antara satu sama lain ibarat dua banjaran saling berhadapan. Masing-masing merasa dengan kekuatan lawan dan mengambil pelbagai perhitungan sebelum memulakan serangan.
Keadaan  ini  berlangsung  beberapa  lama.  Akhirnya  melihat  kepada  semangat tenteranya yang berkobar-kobar untuk mara, Abdul Rahman al-Ghafiqi mengambil keputusan untuk memulakan dahulu serangan dengan bergantung sepenuhnya kepada kelebihan yang dimiliki oleh tenteranya dan keyakinannya bahawa kemenangan akan memihak kepadanya. Abdul Rahman al-Ghafiqi bersama tentera berkudanya  lancarkan serangan ke barisan musuh ibarat singa yang mengganas.  Perancis pula membalas serangan ini dengan semangat yang ibarat gunung.
Hari pertama dalam peperangan ini tidak memihak kepada mana-mana pihak. Hanya kegelapan  malam  sahaja yang mampu menghentikan peperangan hari itu. Hari berikutnya, peperangan  kembali  meletus.  Umat  Tslam  melancarkan  serangan  hebat  ke  atas  tentera Eropah. Namun mereka masih gagal untuk mencapai matlamat mereka.
Peperangan  kini  berlanjutan  selama  tujuh  hari  dan  masa  terasa  bergerak  terlalu lambat. Pada hari kelapan, umat Islam melancarkan serangan besar-besaran ke atas musuh. Mereka  berjaya  membuka  ruang  yang besar  di  pihak  musuh,  seolah-olah  mereka  dapat melihat  kemenangan  melalui  ruang  ini  ibarat  cahaya  mentari  yang  mencelah  kegelapan subuh.
Namun  dalam  masa  yang  sama,  sekumpulan  pasukan  musuh  telah  melancarkan serangan hendap ke atas khemah harta perolehan perang milik tentera Islam. Apabila melihat harta mereka diserang dan hampir  jatuh ke tangan musuh, kebanyakan tentera Islam mula berundur ke belakang untuk menyelamatkan harta masing-masing. Tindakan ini menyebabkan barisan serangan mereka porak-peranda dan kekuatan mereka mula goyah.
Panglima  agung  tentera  ini,  kini  terpaksa  bertindak  pantas  untuk  mengerahkan kembali tentera  yang berundur ini sambil terpaksa menahan serangan musuh dan menutup ruang yang terbuka. Dalam  keadaan ini, pahlawan Islam yang agung, Abdul Rahman al- Ghafiqi terpaksa memacu kudanya ke hadapan  dan belakang. Ketika itulah beliau terkena panahan musuh yang menyebabkannya rebah ke bumi ibarat helang yang gugur dari puncak gunung. Rebah syahid di medan peperangan. Apabila melihat malapetaka ini, umat Islam mula diserang rasa takut dan goyah. Ditambah pula  dengan serangan hebat oleh musuh. Kegelapan malam sahaja yang mampu menyelamatkan mereka.
Menjelang pagi, Charles Martel mendapati seluruh tentera Islam telahpun berundur daripada  Poitiers.  Walau  bagaimanapun,  Charles  tidak  berani  untuk  mengejar  mereka. Sedangkan, jika dia  mengejar, dia boleh memusnahkan mereka. Charles sebenarnya takut pengunduran ini hanyalah sebahagian  daripada taktik perang yang terancang. Jadi, Charles mengambil keputusan untuk kekal sahaja dan berpuas hati dengan kemenangan besar yang telah diperolehinya.
Peperangan Balat al-Shuhada’ ini merupakan hari penting dalam sejarah. Pada hari tersebut, umat Islam gagal mencapai impian besar yang dicitakan selama ini. Malah mereka kehilangan seorang pahlawan agung. Tragedi Uhud berulang kembali. Inilah sunnah Allah di alam semesta ini dan sunnah ini tidak mungkin dapat diubah.
Berita kekalahan di Balat al-Shuhada’ ini amat menyayat hati umat Islam di setiap tempat. Tragedi  yang menimpa mereka ini amat  menggemparkan mereka. Seluruh kota, kampung dan setiap rumah berkabung kesedihan menerima berita ini. Malah luka yang amat pedih ini masih terasa hingga kini. Luka ini tidak akan sembuh selamanya.
Sebenarnya, luka yang begitu mendalam ini bukan sahaja menggores hati umat Islam. Malah luka ini turut dikongsi bersamah para cendekiawan Eropah. Bagi mereka, kemenangan datuk nenek moyang mereka  mengalahkan umat Islam di Poitiers merupakan satu bencana yang merugikan seluruh bangsa manusia. Suatu  kerugian   yang  terpaksa  ditanggung  oleh  Eropah.  Suatu  bencana   yang memalapkan suatu tamadun.
Jika anda ingin melihat pandangan mereka mengenai malapetaka di Balat al-Shuhada’ ini, silalah  dengar apa yang dikatakan akan oleh Henry De Shamboone, pengarah majalah Rivi Barlmintier berbahasa Perancis. Dia pernah menyebut:
Jika Charles Martel tidak mencapai kemenangan ke atas umat Islam, sudah tentu negara kita tidak terjerumus ke dalam zaman kegelapan di kurun pertengahan. Jika Charles tidak menang, sudah tentu kita tidak akan merasai kedahsyatan zaman itu. Sudah tentu tidak akan berlaku peperangan saudara yang disebabkan oleh fanatik agama kemazhaban. Benar, jika tidak kerana kemenangan barbarian ke atas umat Islam di Poitiers itu, sudah tentu Sepanyol masih menikmati keadilan Islam. Sudah tentu Sepanyol akan selamat daripada Mahkamah Taftish1.  Sudah tentu perjalanan tamadun manusia tidak akan terbantut selama lapan kurun. Walau apa sekalipun perasaan kita terhadap kemenangan ini, kita sebenarnya masih terhutang budi kepada umat Islam yang telah banyak berjasa kepada tamadun ilmu, teknologi dan industri kita. Kita perlu mengakui bahawa mereka adalah contoh manusia yang unggul. Dalam masa yang sama kita adalah contoh manusia barbarian. Apa yang kita dakwa hari ini bahawa zaman telah kembali berulang adalah suatu pembohongan. Termasuklah juga dakwaan kita bahawa umat Islam di zaman ini sama seperti keadaan kita di zaman pertengahan.”
Maraji’ – Dr. Abdul Rahman Ra’fat al-Basha, 37 Kisah Kehidupan Tabi’in, Pustaka Salam
Sumber : Dakwah.info

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Fixed Deposit Calculator