Kelebihan Solat Dhuha

Kelebihan Solat Dhuha

Thursday, 7 February 2013

Kehidupan: Seorang Lelaki, Duit dan Perkahwinan.


"Sabarlah menungguh saat itu." =)



Duit dalam isu perkahwinan adalah perkara yang besar. Seringkali duit menjadi isu apabila hendak mendirikan rumahtangga. Di dalam isu ini pula, akan terbahagi tiga golongan. Golongan yang akan menekankan bahawa wang adalah penting, juga golongan yang akan berkata bahawa wang bukan segalanya.  Yang ketiganya adalah golongan yang menekankan wang, tetapi untuk pemborosan semata-mata.

Saya semestinya pergi kepada golongan yang pertama. Namun, apa yang boleh saya kongsikan di sini hanyalah pengalaman dan observasi saya.

Biasanya hal duit ini berkait rapat dengan pihak lelaki. Kerana pihak lelakilah yang akan sibuk hendak memberikan mahar dan hantaran kepada pihak wanita. Pihak lelaki juga merupakan yang bertanggungjawab memberikan nafkah.

Dilema duit memang dilema yang besar.

Di sini saya suka mencoret sesuatu akannya.


Duit Bukan Segala-galanya.

Ada yang mudah memikirkan sedemikian sahaja. Baginya, duit langsung tidak penting. Yang dilihatnya sebagai penting adalah keberkatan majlis(yang biasanya dikaitkan dengan murahnya majlis), dan keluhuran syara’ yang diaplikasikan di dalam urusan cinta dan perkahwinan, serta kemantapan syakhsiyyah Islamiyyah pada diri. Selain itu, perkara materialistik seperti wang, dilihat hanya merupakan perkara sampingan.

Walaupun ini merupakan pandangan yang rata-rata melihatnya sebagai ‘ideal’, saya adalah yang tidak bersetuju dengan pandangan sebegini rupa.

Duit memang bukan segala-galanya. Namun kita perlu berpijak di alam realiti. Alam ini, tempat kita hidup sekarang ini, duit adalah antara unsur utama untuk menjalani kehidupan.

Banyak atau sikit duit kita, itu nombor dua. Tetapi jangan kerana kita rasa kita bukan nak mengejar dunia, dan mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata, maka kita letakkan duit sebagai perkara yang bukan penting dalam kehidupan kita.

Kita kena akui, duit adalah keperluan hari ini.



Pemborosan Yang Perlu Dielakkan.

Boros itu adalah membelanjakan lebih dari apa yang sepatutnya. Boros tidak semestinya berkadar dengan pengeluaran duit yang banyak. Ada beza kita jemput 2000 orang dan membelanjakan RM10,000 untuk menjamu mereka, dengan kita menjemput 2000 orang dan membelanjakan RM150,000 hanya untuk menjamu mereka.

Jika kita seorang yang mempunyai wang yang lebih, tidaklah salah untuk berbelanja besar dalam meraikan rakan-rakan yang jauh, menjemput ramai orang untuk berkongsi bahagia pada hari besar kita. Tiada masalah. Itu tidak termasuk dalam pembaziran. Membazir hanyalah apabila kita berlebih-lebihan.

Bagi yang tidak mampu, mengapa perlu menjemput ramai orang? Jemput sekadar yang mampu.

Namun ramai yang meletakkan ‘nilaian manusia’ dalam majlis yang ‘sekali dalam hidup’ ini.  Maka pada hari itu, pakaian pengantin adalah yang paling mahal walau hanya dipakai sekali, pakaian yang sudahlah mahal itu dibeli pula 3 pasang. Tidak cukup dengan itu, sengaja wang  maskahwin dan hantaran dinaikkan setinggi yang boleh. Perkahwinan pula mahu pelbagai tema yang bombastik – tema flora, tema fairy tale dan macam-macam. Belum lagi yang menempah DJ bertauliah, buat di hotel berprestij dan sebagainya.

Ada juga pemborosan berlaku bukan dalam bentuk berlebih-lebih. Pemborosan juga ada berlaku dalam membentuk ‘buat apa yang tidak kita mampu’.

Saya berkongsi pengalaman seorang teman yang mempunyai duit cukup-cukup sahaja untuk meneruskan kehidupan dengan pasangannya. Namun atas nialain ‘takut malu dengan orang ramai’, maka ibu bapanya memaksanya meminjam bank sebanyak RM30,000 agar dapat menjemput lebih ramai orang. Akhirnya dia kini hidup dengan berhutang.

Ya, kalau mampu sedikit, mengapa mesti menjemput ramai hanya kerana ‘takut orang kata apa’? Ini nyata tidak sepatutnya berlaku.

Boros baik dalam bentuk berlebih-lebihan, atau dalam bentuk buat perkara yang tidak kita mampu, adalah amat dilarang di dalam Islam.

Membuatkan perkahwinan menjadi susah, dan seakan satu beban buat mereka yang ingin menjalinkan hubungan yang sah.



Menguasai Pengurusan Wang Dan Daya Survival.

Namun adalah satu perkara yang perlu dititik beratkan kepada para pemuda untuk menguasai pengurusan wang dan daya survival untuk menjamin perjalanan rumahtangga yang baik.

Kita jangan terpengaruh dengan filem, drama dan novel-novel yang sentiasa ‘menyebelahi’ watak utamanya. Buka karpet pun keluar duit kalau masa susah. Jangan.

Duit sikit atau banyak, itu bukan masalahnya. Saya ulang, itu bukan masalahnya.

Namun bagaimana kita menguruskan wang kita?

Duit banyak, kalau tidak pandai menguruskan wang, apa gunanya? Duit sikit, kalau pandai menguruskannya, insyaAllah bermakna.

Maka semenjak bujang, apakah kita jenis yang mula belajar menguruskan wang kita?

Daya survival pula adalah daya untuk kita berdikari. Kadang pada hari ini, kita mudah bergantung kepada ibu ayah kita. Sibuk nak bina rumahtangga, tetapi top up masih pau kawan, masih lagi mengharap 100% ibu bapa untuk menanggung kita. Ini adalah gejala yang tidak sihat.

Justeru, sudah perlu ada usaha untuk menjadikan diri kita ini seorang yang pandai mencari sara hidup, menggerakkan tulang temulang kita agar tidak malas mencari rezeki, mengerah minda dan akal kita untuk berfikir bagaimana mendapatkan rezeki yang halal dan baik.

Pengurusan wang adalah antara indikator matang.

Bayangkan, apakah status minda dan jiwa kita, apabila kita bergolok gadai duit kita membeli telefon pintar yang terkini, komputer yang mahal, kasut, baju dan seluar yang berjenama mewah, tiba-tiba masuk bab perkahwinan kita mahu hantaran dan maskahwin murah-murah? Nyata amat ironi di situ bukan?

Dengan pengurusan wang ini jugalah akan menambah keyakinan Ibu Bapa untuk memberikan ‘kad hijau’ pada hajat kita untuk melaksanakan perkahwinan.

Ingatlah bahawa setelah berumahtangga, kita ada pelbagai tanggungan. Bil api, bil air, bil internet, minyak kereta, servis kereta, sewa rumah, barang dapur, duit belanja untuk isteri, duit untuk kirim kepada Ummi Abah dan ibu ayah mertua, urusan dengan rakan-rakan lagi, dan apabila mendapat anak, anak pula kita perlu tanggung.

Maka bagaimana kita hendak menghadapi semua ini tanpa pengurusan wang yang baik?



Penutup: Duit, Jangan Langsung Dipandang Enteng!

Islam menekankan usaha. Bukan tawakkal semata-mata.

Jelas apabila Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah apa yang ada di dalam diri mereka terlebih dahulu.” Surah Ar Ra’d ayat 11, bermakna usaha, yakni tindakan itu perlu ada di samping berdoa semata-mata.

Jangan kita sangka, keberkatan itu semata-mata pada majlis yang murah.

Kita bukannya berkahwin dan terus mati.

Kita berkahwin, dan kemudian kehidupan rumahtangga itu akan kita lalui.

Daripada Saad bin Abi Waqash RA bahawa dia pernah berkata dalam sakitnya: “Ya Rasulullah, Sesungguhnya hartaku banyak dan tidak ada yang akan mewarisi harta itu selain seorang anakku yang perempuan, bolehkah aku wasiatkan hartaku itu kesemuanya?” Rasulullah menjawab: “Jangan.” Aku bertanya lagi: “Bagaimana kalau seperdua? ” Baginda menjawab: “Jangan.” Aku bertanya lagi: “Kalau sepertiga? ” Rasulullah menjawab: “Ya, boleh dan sepertiga itu telah banyak. Sesungguhnya apabila engkau tinggalkan ahli waris engkau itu kaya lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam kemiskinan, meminta-minta kepada manusia.” Riwayat Bukhari dan Muslim

Jelas Rasulullah SAW melarang kita meninggalkan keluarga kita papa kedana, hingga mereka tinggal dalam kemiskinan dan meminta-minta kepada manusia. Dan inilah yang kita perlu pastikan untuk keluarga kita.

Maka pengurusan wang adalah penting. Bukan murah mahal, banyak sedikit yang menjadi isunya.

Semoga ini bermakna buat kita, terutama para muda remaja yang ingin bercinta.

Perkemaskanlah dirimu.

Sesungguhnya yang memperkemaskan diri itu sentiasa ada yang baik buatnya.

sumber : http://langitilahi.com/11499


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Fixed Deposit Calculator