Kelebihan Solat Dhuha

Kelebihan Solat Dhuha

Thursday, 12 July 2012

Karyaku.

Jundullah, Ain Jalut itu kuburku.

Oleh : Bani Irwin Bin Bani Amin

Hari ke 25 Ramadhan, Sepi suasana di medan peperangan, hanya bintang sahaja yang menghiasi malam ini. Malam ini merupakan malam yang terakhir buatku, malam yang akan ku hiasi dengan amal ibadahku yang terakhir sebelum fajar subuh menjelang. Malam ini, kutangisi dosa-dosaku yang lalu, malam ini kupanjatkan munajat zikirku kepada Allah Rabbil Alamin. Selama ini, ku harap inilah wasilah yang aku ingin-inginkan mengikuti sunnah nabi yang tertinggi dan para sahabat dalam menjulang maruah demi menegakkan agama Allah.

Malam itu, suasana hidup dengan amal-amalan ahli syurga. Setiap khemah dihiasi dengan tangisan munajat para Mujahid, alunan zikrullah daripada al-Furqan yang bergema lembut meresap kesetiap hati para mujahid. Para Hafiz Quran melantunkan bacaan surah al-Anfal yang meniupkan semangat jihad.

Aku memejamkan mata, menghayati suasana ini....esok mungkin aku tiada lagi..
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Wahai Jundullah !!”

Kedengaran, seruan suara daripada para Ulama, menyeru dengan seruan yang lantang dari setiap pelusuk kota,

“Wahai Jundullah !!”

“Wahai para Mujjahid pemburu Mardahatillah,!!! tenaga kalian diperlukan untuk agama Allah, Seruan kehidupan menyeru dari semua arah, Allah menyeru kepada kamu daripada kehidupan sementara kepada kehidupan Abadi, sahutlah,!!! Sahutlah!!! seruan ini, moga- moga Allah memberikan kamu kemenangan ataupun syahid, Allah huakbar !!”

Lantas seruan suara itu membacakan ayat Quran dengan lantang,

“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.”

Surah Al-Anfal [24]

Hari itu, aku berserta para sahabatku pulang ke rumah daripada pengajian yang diadakan di Madrasah Al-Bayan,..kami semua tercengang mendengar seruan tersebut. Seruan jihad yang diserukan secara tiba-tiba.

Seruan yan berulang-ulang kali diserukan kini memenuhi telinga gegendangku, hatiku penuh dengan keazaman, semangat aku menjulang tinggi, aku segera berlari menuju ke rumah. Sepanjang perjalanan itu kisah Sahabat Hanzalah r.a bermain di mindaku. Kisah yang hidup penuh keberanian menyahut seruan jihad walaupun baru sahaja berkahwin dengan Isterinya. Dunia tidak pernah bertapak dalam hati-hati para Sahabat, dunia tidak pernah mempengaruhi tindakan sahabat. Tetapi Sahabatlah yang mempengaruhi dunia, dunia datang kepada para sahabat dalam keadaan hina.

 “Ayah, Illyas ingin menyahut seruan itu ayah”

“Ayah benarkan, tetapi umur kamu masih 15 tahun”

“Tetapi ayah, umur bukanlah penghalang untuk seseorang itu bangun untuk meyahut seruan Allah.”

“Iya, anakku, ayah tahu, ayah tahu segala kisah para sahabat r.a, adik kepada Hazrat Abi Waqas r.a pun terpaksa merayu kepada Rasulullah S.A.W untuk ikut berjihad, berjuang bersama-sama walaupun umur sebaya dengan kamu”

“Ayah?”

“Ayah mahu lepaskan Illyas tetapi, kamulah satu-satunya anak ayah, ibu kamu sudah uzur, siapa pula yang menjaga ibu kamu ?, biarlah ayah yang menyahut seruan itu.”

“Tapi.... Illyas khuatir, ayah tidak mampu untuk mengangkat pedang, usia ayah sudah uzur.. Ayah, Illyas merayu pada ayah agar benarkan Illyas pergi, ayah....”

“Illyas, ayah nak kamu masuk bilik kamu sekarang.”

Dengan perasaan kecewa, aku melangkahkan kaki masuk ke bilik. Sedih, mungkin Allah tidak memilihku untuk melangkah masuk kedalam wasilah para Syahiddin. Aku terus menuju ke jendela, melihat dari arah billikku, aku melihat sahabat-sahabatku yang gembira dan tertawa kerana dibenarkan oleh ayah dan ibu  mereka. Aku sedih, aku terus pergi mengambil wuduk dan menunaikan solat 2 rakaat.

Esok merupakan pendaftaran rekrut para Mujjahidin. Malam itu aku memutuskan untuk menyertai mereka secara senyap-senyap. Ya,inilah tekadku. aku keluar dari bilik tanpa pengetahuan ayah dan ibu. Malam itu, segala persiapan telah aku siapkan, kecuali pedang. Sebelum keluar meninggalkan bilik, tersimpan sepucuk surat dilipat kemas diatas katil bertulis

 “Maafkan Illyas ayah, ibu”.

Malam itu juga aku berangkat pergi, hati kecil ku membisikkan agar tidak pergi berjihad. Walaupun tekadku ingin syahid, namun masih ada yang menganggu ketenangan hatiku. Iya, seorang gadis yang kumininati, seorang gadis yang ingin kujadikan sebagai isteri, namun tidak ku luahkan kepadanya. Hanya kupendam dihatiku, kunci dan tanam sedalam-dalamnya. Gadis berpurdah..

Aku mencintai dia.....

Aku memalingkan wajahku kepada rumahnya dalam kepekatan malam. Hanya senyuman tawar mampu ku berikan walaupun ku tahu, dia mungkin tidak mengetahui pemergianku. Kuserahkan urusanku kepada Allah..
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
kami seramai 12 orang termasuk para sahabatku, yang juga sama seperti keadaanku yang tidak dibenarkan untuk menyertai peperangan, berkumpul di suatu tempat jauh daripada kota. Kami tekad, untuk mendaftarkan diri pada esok pagi. Seorang sahabatku membacakan surah As-Saff untuk meniupkan semanagat jihad dalam diri kami.... ayat yang terakhir memberi makna yang mendalam kepada kami..

“Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela agama Allah sebagaimana keadaan penyokong-penyokong Nabi Isa ibni Maryam ketika ia berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku dalam perjalananku kepada Allah dengan menegakkan agamaNya?" Mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela agama Allah!" Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi tetap kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.


Setelah bersolat subuh, kami meneruskan perjalanan. Sepanjang perjalanan semalaman yang kami tempuhi, aku teringat akan kisah kaum Bani Israil, bagaimana mereka mendapat nama. Iaitu mereka mengembara pada malam hari dan berehat pada siang hari dan itulah mereka dikenali sebagai kaum Bani Israil. Mulanya kaum yang dimuliakan oleh Allah, namun akhirnya dihinakan. Mulanya mereka meminta izin daripada Allah untuk berperang, setelah diizinkan, mereka tidak mahu pergi berperang malah bersikap pengecut. Semuanya ini menjadi iktibar buat diriku.

Pagi itu kami mendaftarkan diri sebagai tentera sukarela. Kami adalah antara sukarelawan yang datang daripada kota palastin. Kami datang untuk berperang kerana Allah. Bukan kerana ingin dikenali pada mata pandangan manusia. Angin peperangan sebenarnya telah bermula di persempadanan negara Syams. Dimana khilafah sebagai perisai umat tumbang diranapkan oleh tentera tartar. Dengan jumlah tentera tartar yang ramai dan jumlah Muslimin yang sedikit, namun berapa banyak kisah yang diceritakan golongan yang sedikit mampu mengalahkan golongan yang banyak.

Seorang Sahabatku yang baru sahaja aku kenali yang berasal dari Damsyik, sempat meluahkan perasaannya kepadaku tentang situasi yang berlaku di negara Syams. Beliau melarikan diri daripada kota Damsyik yang telah jatuh ketangan tentera tartar untuk ikut bergabung dengan pasukan sukarela ini.

“Siapakah yang tidak sayu bila melihat sebahagian raja Islam menghulurkan tangan persahabatan dengan Hulagu Khan sedangkan darah jutaan umat Islam masih lagi belum kering? Raja Mosul, Badruddin Lu’lu’ menghulurkan tangan persahabatan dengan Hulagu. Begitu juga Kaikawis II dan Qalaj Arsalan, Raja Anadol. Raja Halab dan Damsyik, al-Nasir Yusof juga mengambil langkah sama. Raja-raja itu telah membuka Iraq Utara, sebahagian Syam dan Turki kepada tentera Tatar tanpa peperangan.”

Sahabatku menyambung lagi,.

“Tidak cukup setakat itu. Tanggungan umat semakin berat apabila menyaksikan sebahagian ulama’ mengeluarkan fatwa mengharuskan perjanjian damai tersebut dengan hujah-hujah yang amat mengelirukan.”

“Hanya seorang Raja di daerah tersebut yang mengiklankan jihad. Raja tersebut adalah Al-Kamil Muhammad al-Ayubi, Raja Miyafarqin.Tentera Raja Al-Kamil Muhammad al-Ayubi menguasai timur Turki, barat laut Iraq dan timur laut Syria. Namun tentera tartar mampu meranapkan kerajaan tersebut”

Aku mendengar dengan penuh penyesalan..
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kami dikumpulkan dan akan ditempatkan di kawasan peperangan. Sebelum itu, kami dibekalkan dengan pedang, perisai, baju besi dan bekalan makanan. Kami menaiki kuda menuju ke tempat Ghazwa. Tempat peperangan tersebut sangat jauh iaitu lebih kurang sehari perjalanan. Kami tiba ditempat peperangan yang berbukit bukau pada petangnya ketika azan maghrib berkumandang di pihak Muslimin.

“Kulihat inilah kuburku,” hatiku berbicara.
Lantas aku tersenyum pergi menunaikan solat maghrib berjemaah bersama dengan para Jundullah yang lain. Wangian angin syurga kian terhidu menghampiri diriku. Aku tersenyum. Oleh kerana kepenatan yang teramat sangat semasa perjalanan tanpa rehat, rehat cuma untuk solat sahaja. Aku tertidur..

Aku terbangun oleh satu suara yang merdu mendayu-dayu, berbisik-bisik ditelingaku. Aku terkejut, melihat 70 ribu bidadari dengan kecantikan luar biasa, sedang memandangku dengan senyuman yang teramat manis. Seorang bidadari yang lebih cantik dari bidadari yang lain, berjalan mendekatiku.. ingin ku segera memeluknya, namun ditegah olehnya.

 “Illyas, Illyas, bangun Illyas..”

Aku membuka mata, azan isyak sedang dilaungkan. Aku tertinggal bayan yang disampaikan oleh ulama dalam menaikkan dan meniupkan roh jihad. Namun aku tersenyum, tersenyum seorang diri.. aku lupa kepada dunia, aku rindu kepada syurga, rindu bertemu Allah dengan kemenangan.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Laungan takbir memenuhi alam, para Hafiz mengeraskan membaca surah Al-Anfal, masing-masing memberikan semangat. Kulihat musuh yang begitu ramai menyerbu dengan ganas.

Pedang bertemu pedang, gendang dipalu bertambah kuat berselang seli memberikan arahan dengan takbir dari petani-petani yang berada di atas bukit. Darah mula mengalir. Satu demi satu nyawa melayang. Aku terus mara, mencantas kepala musuh dengan cepat, satu demi satu kepala tartar terpenggal. Sempat kulihat sahabatku, perwatakannya yang selama ini lemah-lembut menjadi seperti singa yang lapar mencantas kepala musuh yang ditemui.

Aku terus mara mencari pemimpin tentera tartar. Dalam kesesakan, takbir, teriakan, pekikan manusia yang berperang, kulihat  pemuka tentera tartar dalam barisan kawalan yang rapi dan menunggang kuda. Mukanya bengis. Ingin sekali ku pancung kepalanya. Dari arah itu juga aku terhidu wangian syurga. Aku rindu, aku ingin segera syahid. Aku berlari melompat menerkam kearah tersebut. Aku terus mengibaskan pedangku dengan ganas. Aku ingin segera mati, pandanganku yang terang tadi tiba-tiba menjadi gelap bercampur merah......

“Hidup mulia ataupun mati syahid”..............
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Assalamulaikum,

Kehadapan buat Ayahanda dan Ibunda yang kukasihi...
pada ketika ini, ayah dan ibu membaca surat Illyas, mungkin Illyas sudah tidak ada lagi didunia ini. Mungkin Illyas berada di alam lain..

Ayah, ibu, maafkan Illyas..Illyas hanya ingin menyahut panggilan jihad. Illyas hanya ingin meminta doa restu daripda ayah dan ibu untuk keselamatan Illyas, jika Illyas ditakdirkan syahid, Illyas akan menunggu ayah dan ibu di pintu syurga nanti..

Illyas sedar pertemuan di dunia ada pengakhiran, tetapi di syurga pertuman yang tidak ada perpisahan..Illyas Rindu ayah dan ibu..
Assalamulaikum..

2 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Fixed Deposit Calculator