Kelebihan Solat Dhuha

Kelebihan Solat Dhuha

Monday, 21 May 2012

Ikhwan Muslimin

Menyorot keunggulan Ikhwanul Muslimin mengikut kronologi pimpinan Syeikh As Syahid Hassan Al Banna di Mesir Bumi para Ambia'. Disediakan oleh: Saudara Muhd Amar bin Mohd Amin (Exco Perhubungan MISG-ABIM UK & Eire 2004)




Ikhwanul muslimin merupakan gerakan terulung moden pada abad ke 19 ketika dunia mencari pemimin agung selepas kejatuhan kerajaan Othmaniyyah Turki dan angkatan perang pimpinan Salehuddin Al-Ayubi. Kebesaran dan kehebatan Al-Ikhwan al-Muslimin diakui ramai. Tokoh sejarah Arab, Dr. Nabih Amin Parsi pernah menulis tentang pergerakan ini. Antara lain katanya, "Sesungguhnya fikrah idealisme mereka sentiasa menjadi perhatian yang mendalam dikalangan umat Islam dari Arab hingga ke Barat."

Profesor Cantol Smith (biodata diri tidak dapat dikenal pasti) telah memetik pendapat Bernard Lewis (juga tidak dapat dikenal pasti) yang berkata, "Saya tersilap menganggap Ikhwan Muslimin sebagai gerakan terrorist."

Positif
Sesungguhnya Ikhwan telah mengerahkan sekuat tenaga secara positif, pembangunan yang baik bagi membentuk sebuah masyarakat dan ummah baru yang berasaskan keadilan, berperikemanusiaan yang diambil dari nilai-nilai yang dipelihara oleh tradisi Islam.

Sebenarnya gerakan Ikhwan telah memperlihatkan satu wawasan dan cita-cita untuk membersihkan masyarakat dari kehancuran dan keruntuhan yang telah melanda masyarakat dunia, terutamanya keruntuhan akhlak individu, masyarakat dan daulah Islam secara amnya. Ikhwan berusaha untuk mengembalikan masyarakat kepada nilai murni dan akhlak yang terpuji dengan perancangan yang produktif dan pelaksanaan yang baik sebagai contohnya menjadikan diri mereka sebagai teladan kepada masyarakat.

Malahan, harakah Ikhwan berjuang untuk membebaskan masyarakat dari pengagungan terhadap unsur-unsur negatif warisan tradisi yang rendah dan beku. Serta berusaha mengubah umat Islam dari perasaan bersemangat akan Islam secara membuta-tuli tetapi malas berusaha kepada rajin bekerja dan bertawakal kepada Allah S.W.T.
Harakah Ikhwan ini juga melakukan ‘Islah’ (perubahan) ke atas golongan yang taklid buta yang menyeleweng, berfikiran sempit, serta jumud akibat penjajahan asing kepada tenaga muda yang kuat, berpotensi, aktif serta dapat menyelesaikan segala masalah semasa samada dari sudut politik, ekonomi, ilmu sains, farmasi, matematik, astronomi mahupun sahsiah masyarakat sejagat.

Mula Dikagumi
Kehidupan Gerakan Ikhwan dan cara perjuangannya menurut Dr. Muhammad Kamal Khalifah, Pensyarah di Universiti Cairo melalui mukadimah buku Ikhwan Muslimin Dan Masyarakat Mesir berkata, kemunculan Hassan Al-Banna yang mendapat inspirasi dari Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh, serta menjalani aliran rakyat melahirkan golongan mukmin yang sebenar-benarnya melalui pengajian dan pembelajaran untuk menyebarkan aqidah yang sahih, kefahaman yang betul dan menyeluruh tentang Islam dan sistemnya. Beliau berjuang bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita tersebut. Usaha beliau ini amat dikagumi masyarakat Mesir sehingga Islam kembali kepada kedudukan yang sewajarnya dalam masyarakat.
Hal ini disebabkan oleh kesederhanaan Hassan Al-Banna dalam penerimaan pandangannya melalui pendekatan yang amat mudah diterima, sama ada dari golongan awam dan juga intelek. Malahan ia menjadi semakin mudah apabila naluri manusia yang sentiasa menuju ke arah asas-asas Islam dan menjauhi masalah khilafiah dalam perkara furuk sehingga beliau dapat menarik kepercayaan dan rasa kasih sayang orang ramai terhadapnya.

Beliau turut membentuk beberapa golongan pemuda mukmin menjadi ‘mujahid’ yang sentiasa berjuang ke arah membebaskan tanah air dari kezaliman penjajah dan mengembalikan hak-hak rakyat dan menegakkan kembali kedaulatan bangsa Arab, yang mana perjuangan golongan muda ini amat digeruni baik kawan mahupun lawan.
Hassan Al-Banna turut berusaha untuk memperbaiki taraf hidup masyarakat. Beliau telah menubuhkan pelbagai institusi khidmat masyarakat, menjalankan kegiatan ekonomi, kesihatan dan pendidikan dengan nama Islam. Dengan kegiatan inilah, sedikit demi sedikit telah mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap Islam dan meneguhkan keimanan umat Islam ke peringkat memahami Islam sebagai agama sempurna dan menyeluruh seperti yang difahami oleh ahli-ahli Ikhwan dan umat Islam pada zaman kegemilangan.

Naungan Wahyu Islam

Begitulah perjuangan beliau dalam menegakkan risalah Islam hingga ke akhir hayatnya. Beliau telah meninggalkan selepasnya itu, satu generasi mukmin yang sentiasa bekerja di bawah naungan wahyu dan sinar ‘nubuwah’ yang mulia dan meninggalkan beberapa peribadi misali sebagai lelaki mukmin yang berwibawa dan pejuang-pejuang ulung.

Profesor Bernard Lewis melalui bukunyaBarat Dan Timur Tengah turut mengulas mengenai sejarah Ikhwan Muslimin. Antara lain beliau berkata, "Ikhwan Muslimin merupakan gerakan Islam yang terkuat dan banyak mencapai kejayaan. Ia merupakan pertubuhan separuh terbuka, tersebar luas tertegak di atas asas penyatuan tenaga muda yang berbentuk ala tentera, mencakupi pelbagai bidang yang luas dan besar dari institusi ekonomi dan akademik."

Kronologi kegemilangan

Namun, sebaliknya di Palestin, mereka dituduh merancang untuk menyerang Kota Cairo, mencetus rampasan kuasa, menjatuhkan Raja dan kerajaan Mesir dan menubuhkan kerajaan Republik Islam. Tindakan pertama kerajaan Mesir, melalui Annakrashi Basha (iaitu Perdana Menteri Mesir pada masa itu) ialah menahan anggota Ikhwan.

Kemudian pada Disember 1948 Annakrashi telah mengharamkan pertubuhan Ikhwan Muslimin, menangkap dan menghapuskan seberapa banyak anggota pergerakan ini. Betapa besarnya jasa Imam Al Banna dalam menggerakkan umat Islam berjihad menentang Yahudi dalam keadaan umat Islam terlena dibuai mimpi-mimpi indah, beliau menyedarkan mereka supaya bangkit dan menghalau penjajah di Baitul Maqdis.

Ketika mereka sudah berada dipinggir Tel Aviv, kerajaan Mesir memanggil pulang. Dan apabila pulang, mereka dapati pemimpin mereka, Imam Al Banna telah dibunuh dengan kejam. Bahkan mereka yang pulang itu pula ditangkap dan dipenjarakan. Kepulangan mereka bukan disambut dengan sorakan, pujian mahupun anugerah, tetapi mereka disambut dengan penjara dan tali gantung. Bermula tanggal berkenaan, Yahudi kembali berkuasa ke atas seluruh Palestin sehinggalah ke hari ini. Mereka kembali melakukan kekejaman ke atas umat Islam tanpa mengira lelaki mahupun wanita, dewasa mahupun kanak-kanak, muda mahupun tua.

Dr Ahmad Al-Malat, Pengerusi Persatuan Perubatan Islam Kaherah yang merupakan salah seorang anak murid Imam Al Banna berkata, “Kalaulah tidak kerana pengkhianatan yang dilakukan ke atas Imam al Banna nescaya tinta sejarah (Palestin) telah berubah dengan izin Allah.

Dr Al-Malat adalah salah seorang doktor bedah yang ditugaskan oleh Imam Al Banna untuk menyertai peperangan menentang Yahudi di Paletin. Beliau memberikan khidmat kepakarannya kepada mujahidin yang tercedera.

Bersempena ulang tahun pemergian Imam Al Banna, Dr Al-Malat yang sudah lanjut usianya berpesan kepada pemuda-pemuda gerakan Islam yang sedang ditekan diseluruh dunia, “Kita mahu pemuda-pemuda yang berkata kepada dunia, 'Cukuplah....'. Kita mahu pemuda-pemuda yang sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan musuh... Sesungguhnya pertembungn diantara hak dan batil berterusan tanpa henti. Dan kita adalah tentera dipihak yang hak. Untuk itu kita perlu menggantikan panglima ini (Imam Al Banna) yang telah menjual dunia dan membeli keredhaan Allah...”

Pada 12 Februari 1949, Syeikh Hassan Al-Banna telah dibunuh secara tragis. Sehingga kini kematian beliau masih menjadi misteri. Selepas peristiwa tragik inilah akhirnya kegiatan ini kuat dan Hassan Al-Hudeibi dilantik sebagai Mursyidul Am. Pada 1951, Ikhwan Muslimin diberi kelonggaran, segala harta bendanya yang dirampas dikembalikan dan semua kegiatannya dibenarkan beroperasi secara terbuka.

Anggota pertubuhan Ikhwan telah memainkan peranan yang penting dalam Perang Suez menentang Inggeris yang membawa kepada berlakunya Revolusi pada 1952. Beberapa tahun selepas itu, telah wujud kerjasama antara Ikhwan dan pemerintah tentera. Malangnya, hubungan erat ini musnah kerana mereka dituduh cuba menggulingkan kerajaan. Enam orang pemimpin Ikhwan dihukum mati, antaranya Al-Ustaz Abdul Kadir Audah, pengarang buku Undang-undang Jenayah Dalam Islam manakala ribuan anggota Ikhwan disumbat ke dalam penjara.

Kemudian sekitar tahun 1965 rejim tentera membuat tuduhan yang sama terhadap mujaddid Islam, Al-Ustaz Syed Qutb, berasaskan buku Petunjuk Sepanjang Jalan, dijalankan hukuman gantung terhadap beliau dan dua orang lagi pada 29 April 1966.

Matlamat Ikhwanul Muslimin dunia

Namun begitu, Pertubuhan Ikhwan mempunyai cawangan diserata dunia dan mereka memainkan peranan yang penting dalam arena dakwah mengikut pola keadaan dikawasan masing-masing.
Menurut Dr. Mustafa Assibaie'i, Muraqib Am Pertubuhan Ikhwan Muslimin, terdapat lima matlamat utama perjuangan Pertubuhan Al-Ikhwan ini.

Pertamanya ialah memperbaiki individu. Sebenarnya kesempurnaan seseorang itu tidak akan berjaya kecuali dengan menyucikan aqidahnya dari sebarang kekotoran, hatinya dari penyelewengan, nafsunya dari syahwat, akhlaknya dari kelemahan dan jiwanya dari kekosongna. Kesempurnaan ini akan berjaya apabila lahirnya dalam masyarakat satu tenaga yang bangun bekerja dengan semangat yang luhur dan mempunyai daya pemikiran yang bijak.

Keduanya ialah memperbaiki keluarga. Keluarga merupakan asas dalam masyarakat, kestabilan dan keteguhan pembinaannya merupakan satu-satunya jalan untuk membina masyarakat yang utuh. Untuk menjayakan matlamat kedua ini masyarakat mestilah:

I. Membebaskan diri dari kejahilan, ketakutan, kelaparan, kesakitan dan kemiskinan.
II. Mewujudkan satu sistem yang teguh yang dapat mengintrogasikan antara kekerasan dan tolak ansur, keadilan dan kemaafana dan terhindar dari kekejaman individu dan kuku besi.

Matlamat yang ketiga ialah memelihara umat iaitu dengan mempunyai satu kekuatan yang dapat memelihara umat dan mencegah permusuhan dari kezaliman dan kekejaman dimana-mana sahaja.
Matlamat yang keempat ialah menentang penjajah. Ikhwan tidak melihat perjuangan menentang penjajah berakhir selepas kemerdekaan dicapai. Tetapi harakah ini turut berazam untuk membebaskan umat Islam dari sebarang pengaruh penjajah sama ada dari segi ketenteraan, politik, ekonomi dan sosial. Setiap pencabulan ke atas sesebuah negeri, aqidah dan harta benda penjajah wajib diperangi dengan apa jua cara sekalipun. Ikhwan turut berpendapat bahawa perjuangan menentang pembelot negara yang terdiri daripada golongan zalim dan kuku besi adalah sebagai perjuangan menentang penjajah.

Dan matlamat yang terakhir ialah mewujudkan perpaduan masyarakat Arab dan umat Islam yang lain. Sebenarnya harakah Ikhwan telah menyuarakan betapa perlunya diwujudkan satu gagasan atau kesatuan umat Islam yang bersatu dari aspek politik, ekonomi dan sosial seperti Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat. Berdasarkan gagasan inilah semua bangsa yang beragama Islam dapat berpadu tenaga, saling bantu-membantu untuk menjadi satu umat yang dihormati dan digeruni. Malahan, gagasan seperti ini dapat memainkan rentak yang berkesan dalam usaha memelihara keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran dunia.
Sifat Dan Perjuangan Jemaah Ikhwan

Menurut Dr. Mustafa Assibaie'i, Ikhwan Muslimin sebenarnya bukanlah suatu badan da'wah semata-mata. Malah ia merupakan gerakan Islam sedunia yang aktif bukan hanya di Mesir, malahan diseluruh negara Arab serantau dan negara Islam sedunia seperti Sudan, Lubnan, Palestin, Jordan, India, Brunei, Malaysia dan sebagainya. Gerakan yang terdiri daripada generasi muda ini merupakan gerakan yang kuat, berlandaskan asas-asas yang kukuh yang mampu mencetuskan perubahan besar bagi memperbaiki dunia. Oleh itu, dasar-dasar, matlamat dan aliran perjuangan Ikhwan adalah jelas dan mengkagumkan.

Matlamat Ikhwan Al-Muslimin ialah:
• Pendakwah yang menyeru ke arah perubahan positif dari segi pemikiran yang menyeluruh.
• Pendakwah yang membawa risalah yang syumul mencakupi seluruh manusia dan mengatur segenap bidang kehidupan.
• Pendakwah yang menekankan kebajikan, kebenaran dan kedaulatan.
• Pendakwah agama bukan pendakwah kenegerian atau berpuak-puak.
• Sebagai pendukung kesejahteraan kepada mereka yang menghormati kemuliaan, kebajikan dan keselamatan untuk umat dan negara kami.
• Sebagai angkatan jihad untuk menentang mereka yang bercita-cita menghancurkan umat Islam, menjajah tanah air, membasmi syariat atau cuba menjadikan umat Islam hina dan papa.
• Sebagai pendakwah untuk menyampaikan risalah Islam yang syumul.

Konspirasi berdarah

Ramai berpendapat, Imam Al Banna tidak akan dibunuh jika beliau tidak menyertai jihad menentang Israel pada 1948. Mana mungkin Imamul-jihad ini berdiam diri melihat Yahudi meratah-ratah daging saudaranya dibumi Isra' seperti yang kita lihat pada hari ini. Sebab itulahbeliau menyandang senjata dan mengerahkan umat Islam supaya berjihad, menyahut seruan Allah di dalam Al-Quran.

Maka 'jihad'lah yang menjadi punca kemarahan musuh-musuh Islam seperti yang berlaku pada hari ini Amerika Syarikat memusnahkan negara yang menentang kemaraan tentera Yahudi keatas negara Palestin yang telah lama lumpuh dari segi persenjataan. Sebelum itu mereka tidak begitu gentar terhadap dakwah Imam Al Banna. Dakwah yang dilakukan oleh beliau di Mesir adalah dakwah yang penuh dengan hikmah; mengajak manusia bangkit dalam segala aspek kehidupan bagi memastikan dunia Islam kembali disegani dan dihormati. Hasan Al Banna tidak pernah mengkafirkan sesiapa sesuka hati. Tidak pernah mengarahkan sesiapa melakukan pembunuhan ke atas pemimpin-pemimpin tertentu dan tidak pernah merancang untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Dakwah sebegini lazimnya tidak mengundang sebarang tindakan negatif pihak musuh. Tetapi sebaik sahaja melihat kejayaan beliau mengajak umat Islam Mesir menyerti peperangan terhadap penjajah Israel dibumi Palestin, maka musuh-musuh Islam merasa gerun.
Mereka bimbang, orang yang mampu mempengaruhi orang ramai ini akan menumbangkan kuasa mereka suatu hari kelak. Peristiwa ini seakan-akan sama dengan peristiwa Singapura diserang todak. Budak yang berjaya menyelamatkan Singapura daripada diserang todak itu akhirnya dibunuh kerana dibimbangi kepintarannya itu akan menyebabkan kuasa raja tumbang suatu hari kelak.
Perginya seorang pahlawan

Tanggal 12 Februari 1949 telah meninggalkan sejarah hitam bagi gerakan Islam seluruhnya. Dunia kehilangan seorang ulama' ulung yang mempelopori gerakan mengembalikan Islam ke puncak kegemilangannya.

As Syahid Hassan Al Banna belum sempat melihat Islam didaulatkan kembali setelah kejatuhan khilafah Othmaniyyah, tetapi beliau telah menang dalam pertarungan mendapatkan syahid. Pemergian beliau bukan secara kebetulan, tetapi ia merupakan pembunuhan kejam yang terhasil daripada perancangan musuh-musuh Islam yang berselindung dibelakang Raja Faroq.

Dua bulan sebelum kejadian, gerakan Islam yang diasaskan oleh As Syahid Hasan Al Banna telah diharamkan oleh kerajaan Mesir. Kesemua cawangannya di sana yang berjumlah lebih daripada 3,000 diarahkan supaya dibubarkan dan sekiranya masih beroperasi akan dikira sebagai pertubuhan haram pelampau.

Bukanlah suatu yang baru bagi pemimpin Mesir menjadi 'pak turut' kepada negara-negara Barat. Dalam mengharamkan gerakan Islam ini, kerajaan Mesir secara jelas mengikut telunjuk Amerika Syarikat, Perancis dan Britain.

As Syahid Syed Qutub yang berada di Amerika ketika pembunuhan Hasan Al Banna menceritakan bagaimana rakyat Amerika Syarikat berpesta apabila menerima berita kematian Hassan Al Banna.
Ketika kejadian, Hassan Al Banna berjalan bersendirian di Jalan Ramsis, Kaherah berhampiran dengan pejabatnya Jam'iyatus Syubbanil Muslimin (Persatuan Pemuda Islam). Bukti perancangan mereka terbukti apabila jalan yang biasanya sibuk itu menjadi lengang. Lampu-lampu jalan dipadamkan, semua kedai dan restoran ditutup dan tidak ada kenderaan yang dibenarkan melalui jalan berkenaan kecuali sebuah teksi yang beberapa kali berulang-alik mencari 'sesuatu.'

Oleh kerana tiada kenderaan lain, Imam Al Banna menahan teksi berkenaan untuk pulang ke rumahnya. Dengan tidak disangka-sangka, sebaik sahaja teksi berkenaan berhenti dihadapan beliau, tubuh beliau terus dirobek oleh peluru-peluru yang dimuntahkan oleh senjata pemandu teksi berkenaan.

Bagi menyempurnakan lakonan sandiwara seterusnya, Imam Al Banna dibawa ke Hospital Al Qasrul Aini. Dihospital berkenaan, dengan arahan daripada Raja (Al Malik) Faroq, Imam Al Bana ditinggalkan bersendirian tanpa diberi rawatan kecemasan hinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tarikh 12 Februari, lebih 55 tahun yang lalu menjadi saksi pembunuhn kejam dan terancang pihak berkenaan ke atas imamul-jihad, As Syahid Hasan Al Banna.

Bukti Perancangan semakin terserlah apabila pada 4 Julai 1949 kerajaan Al Malik Faroq mengisytiharkan anugerah khas kepada konspirator utama yang merancang pembunuhan berkenaan, iaitu ketua dijabatan siasatan jenayah Kementerian Dalam Negeri, Amir Mahmud Bek Abdul Majid dan pemandu serta pemilik teksi berkenaan. Mereka dianugerahkan elaun khas di atas 'jasa dan kesungguhan berkhidmat memastikan keamanan negara.'
Tekanan

Dengan kejayaan mereka membunuh Imam Al Banna, maka bertambahlah tekanan demi tekanan ke atas pengikut-pengikut serta anak-anak murid Imam Al Banna. Mereka mencari anggota Ikhwanul Muslimun dari rumah ke rumah serta memenjarakan mereka.
Rumah As Syahid Imam Al Banna tidak terkecuali daripada pemeriksaan. Bahkan mereka mengadakan kawalan khas disekeliling rumah berkenaan selama dua tahun. Sesiapapun tidak dibenarkan menghubungi keluarga Imam Al Banna. Sesiapa yang cuba menghubungi keluarga berkenaan akan ditangkap dan dipenjarakan.

Talian telefon dirumah berkenan dipotong. Tidak cukup dengan itu, mereka akhirnya mengeluarkan arahan supaya rumah berkenaan dirobohkan dengan alasan ianya sudah usang dan dibimbangi akan membahayakan orang ramai, sedangkan rumah berkenan masih dalam keadaan kukuh.
Kebimbangan mereka ke atas dakwah Ikhwan ternyata sekali apabila jenazah As Syahid tidak dibenarkan diiringi oleh sesiapapun di kalangan lelaki. Jenazah beliau diiringi oleh para malaikat dan kaum ibu ke kubur. Lelaki yng mengiringi beliau hanyalah bapanya, Imam Abdul Rahman Al Banna dan Syeikh Makram Abid.
Tekanan ke atas anggota-anggota Ikhwan berterusan walaupun Al Malik Faroq sudah tidak berkuasa lagi dibumi Mesir. Tahun-tahun 1954, 1965 dan 1981 telah merakamkan seribu satu macam kengerian di atas penyiksaan yang dikenakan ke atas anggota Ikhwan.

Ramai ulama' dibunuh ditali gantung. Tidak kurang juga yang disiksa dengan pelbagai jenis penyiksaan di dalam penjara yang tidak diketahui di mana letaknya.

Kebangkitan seluruh dunia ketika dan selepas pemergian As Syahid

Musuh-musuh Islam menyangka mereka berjaya menyekat dakwah Islamiyyah dengan membunuh Imam Al Banna dan menekan pengikut-pengikutnya. Sebaliknya kehendak Allah mengatasi segala-galanya.

Dakwah Islmiyyah ini semakin tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Disebahagian besar negara Arab kemudiannya ditubuhkan cawangan Ikhwnul Muslimun. Di Turkey ditubuhkan parti Refah. Di India, Pakistan dan Bangladesh ditubuhkan Jamaat-e-Islami.

Malaysia juga tidak ketinggalan dalam menyahut kebangkitan dunia pada ketika itu lalu berlaku beberapa penubuhan platform gerakan dakwah moden yang popular sehingga ke hari ini antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 dan didaftarkan secara rasmi pada 17 Ogos 1972 di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Muktamar ABIM yang pertama telah diadakan pada tahun 1972 di Kuala Lumpur dan Razali Nawawi (kini Prof. Dr.) dilantik sebagai Presiden ABIM yang pertama bersama-sama sepuluh orang Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat. Pada tahun 1974, Anwar Ibrahim (kini Dato’ Seri) telah dilantik sebagai Presiden ABIM yang kedua. Siddiq Fadzil (kini Dato’ Dr.) telah dilantik untuk memangku dan seterusnya menjadi Presiden ABIM yang ketiga selepas penyertaan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982. Muhammad Nur Manuty (kini Dr.) telah dilantik sebagai Presiden ABIM keempat pada tahun 1991. Kemudian pada tahun 1997 di Alor Setar, Kedah, Ahmad Azam Abdul Rahman telah dipilih sebagai Presiden ABIM yang kelima.
Antara platform yang terbaru pula ialahJemaah Islah Malaysia (JIM) yang telah didaftarkan secara rasmi pada tahun 1990. Manakala Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang telah ditubuhkan pada tahun 1955 pula pernah diharamkan oleh British ditubuhkan bagi penglibatan secara langsung dengan politik tanah air yang mana pada ketika itu dikenali sebagai Hizbul Muslimin.

Di Indonesia pula umat Islam menubuhkan Mayumi manakala Palestin pula ditubuhkan Hamas dan begitulah seterusnya. Parti dan gerakan Islam satu demi satu bercambah dan Ikhwanul Muslimin dicontohi hasil daripada 'biasan sinar dakwah' Imam Al Banna rahimahullah.

Mencari Al Banna kedua

Kini, ketika dunia sedang menyaksikan penindasan berterusan ke atas umat Islam dan gerakan Islam, kita mengharapkan Allah melahirkan seorang lagi pemimpin Islam seperti Hassan Al Banna.

Tidak adakah seorang dikalangan umat Islam kini yang mampu mengembalikan maruah Islam setelah dirobek-robek oleh Amerika, Britain, Israel, Perancis dan sekutu mereka di Palestin, Afghanistan, Iraq, Mindanao, Checnya, Kashmir dan mencetuskan konspirasi dinegara-negara Asia Tenggara seperti yang berlaku pada hari ini seperti di Selatan Thai, Ambon, Indonesia dan sebagainya.

Sudah tibakah masa yang dijanjikan Allah, apabila umat terdahulu diuji dan dicuba lantas berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah akan datangnya pertolongan Allah?" lalu Allah berfirman: "Ketahuilah, pertolongan Allah semakin hampir.”

Petikan ucapan terakhir Hasan al Bana dalam muktamar dihadapan para pemimpin muslimun yang diadakan di Mekah al Mukaramah:

"wahai saudara-saudara,
Tahukah kamu kenapa kita tertinggal jauh ke belakang dari salafus salih? Sesungguhnya satu sahaja jawapannya dan tiada duanya. Ini kerana kita berpaling dari Al-Qur'an dan tidak melakukan segala apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Ketahuilah bahawa muslim akan hanya merasa bahagia di alam nyata apabila mereka menjadikan Al-Qura'nul Karim sebagai perlembagaan hidup dan perlembagaan mereka. Terimalah amanat dari aku: "Sesungguhnya Allah tidak akan menolong orang-orang fasik yang berpaling tadah dari agama mereka dan melalui jalan syaitan nir rajim. Di hari kita kembali kepada pangkuan Al-Qur'an dan sunnah yang suci, di hari itulah kita akan melihat pertolongan Allah s.w.t. terpampang di hadapan mata kita."

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Fixed Deposit Calculator